Ketahui tanda-tanda bersalin dan apa yang akan doktor lakukan bagi memastikan tubuh anda bersedia untuk proses kelahiran seperti yang dinyatakan oleh Dr. Siti Esah Bahari dari Selangor Medical Centre.
Di penghujung kehamilan, setiap ibu hamil akan melalui beberapa tanda yakni petunjuk bahawa masa untuk melahirkan sudah hampir tiba.Ramai yang cemas dan tertanya-tanya apakah tanda yang dialami benar-benar tanda bersalin atau sebaliknya. Oleh yang demikian, perlu anda ketahui bahawa hanya terdapat tiga tanda bersalin. Tanda-tanda yang dimaksudkan ialah:
1. Show
Ini merupakan tanda awal bersalin. Kebiasaannya dalam bentuk lendir ataupun darah. Jika mengalami tanda ini, anda tidaklah perlu tergesa-gesa bergegas ke hospital. Hal ini kerana tanda sebegini mengambil masa hampir beberapa hari sebelum anda perlu melalui proses bersalin.
2. Kontraksi
Dalam keadaan ini, perut anda akan menegang setiap 10 minit. Paling kerap ialah pada kadar 20 saat bagi setiap kontraksi. Bagi kontraksi sebenar, kekerapannya perlulah konsisten, kerap dan bertambah kuat dari semasa ke semasa. Apabila anda melalui kontraksi sebegini, seharusnya anda perlu segera ke hospital untuk mendapatkan pemantauan doktor. Walau bagaimanapun jika hal yang sebaliknya berlaku, (sebagai contoh anda mengalami kontraksi pada kadar 10 minit, kemudian 45 minit, selanjutnya 5 minit) perlu diingatkan keadaan sebegitu bukanlah kontraksi.
3. Air ketuban pecah
Kebiasaannya keadaan ini berlaku apabila ada pancutan air yang keluar dalam jumlah yang banyak. Perlu anda perhatikan, air yang keluar seharusnya jernih dan tidak berwarna. Namun, jika air itu berwarna hijau, itu menandakan bayi sudah pun membuang air besar ketika masih berada dalam kandungan. Apabila mengalami tanda seperti ini, sebaik-baiknya anda perlu segera berangkat ke hospital untuk pemeriksaan lanjut kerana jika dibiarkan berlanjutan boleh menyebabkan jangkitan kuman.Kebanyakan wanita hamil keliru dengan perbezaan air ketuban dan air kencing. Bagi mengetahui sama ada, ketuban pecah ataupun tidak, untuk pengetahuan anda, air ketuban keluar tanpa anda mengalami rasa ingin membuang air kecil.
Amaran!!!
Walaupun ketiga-tiga tanda ini merupakan petanda awal bersalin, namun anda tetap perlu segera ke hospital sekiranya mengesyaki bayi kurang bergerak. Dibimbangi bayi lemas dalam kandungan. Dalam masa 12 jam, bayi perlu sekurang-kurangnya 10 kali bergerak. Jika secara tiba-tiba, anda mendapati bayi kurang bergerak segeralah ke hospital walaupun tidak mengalami tanda awal bersalin.
Rutin pemeriksaan
1. Vaginal examination
Pemeriksaan ini penting bagi mengetahui sama ada ibu hamil sudah benar-benar bersedia untuk proses kelahiran ataupun tidak. Biasanya, pemeriksaan ini dilakukan setiap dua hingga empat jam. Apabila semakin hampir 10 cm, pemeriksaan lebih kerap dilakukan.
2. Cardiotopograph
Pemeriksaan yang turut dikenali sebagai CTG ini dilakukan untuk memeriksa kekerapan kontraksi.
3. Pemeriksaan tekanan darah
Pemeriksaan ini penting bagi mengelakkan sebarang kemungkinan yang tidak diingini sewaktu proses kelahiran.
4. Palpation
Doktor akan memegang dan memeriksa kedudukan bayi di abdomen ibu bagi mengetahui kedudukannya normal ataupun sebaliknya.
Proses kelahiran
1. Dari permulaan pembukaan pangkal rahim sehingga 10 cm
Dalam pada itu, peringkat ini terbahagi kepada dua:
- Senyap (latent)
Pada peringkat ini pangkal rahim akan mula menipis dan membuka sehingga 3 cm.
Ia mengambil masa yang lama. Malah, ada yang mengambil masa sehingga beberapa hari. Biasanya jika anda mengalami tanda show dan serviks tidak terbuka, doktor biasanya akan mengizinkan anda pulang ke rumah.
- Aktif
Peringkat ini bermula apabila serviks mencecah 3 cm. Inilah masanya anda ditahan di bilik bersalin. Proses pembukaan serviks akan bermula pada kadar yang cepat. Biasanya ia mengambil masa antara lapan jam (anak pertama) dan empat jam (lebih daripada seorang anak). Semakin ramai bilangan anak, semakin cepat serviks membuka. Kontraksi turut menjadi semakin kerap. Pada suatu ketika, kontraksi berlaku setiap 3 minit dan paling akhir setiap 40 saat.
2. 10 cm sehingga bayi keluar
Bagi kelahiran anak pertama, ia mengambil masa paling maksimum sejam untuk melahirkan anak. Walau bagaimanapun, jika anda tidak melahirkan anak selepas sejam, doktor akan menggunakan alat bantuan seperti vakum atau forsep. Jika masih gagal, pembedahan segera akan dilakukan. Hal ini perlu kerana kepala bayi sudah pun berada di dalam tulang pelvis. Jika terlalu lama bayi akan kekurangan oksigen dan dikhuatiri berlaku komplikasi yang lain pula.
3. Uri dikeluarkan
Walaupun bayi telah selamat dikeluarkan dari rahim, namun mengeluarkan uri adalah lebih penting kerana jika tidak dilakukan dengan sempurna boleh membahayakan nyawa ibu. Doktor akan memberi ubat yang dikenali sebagai syntometrine bagi mengecutkan rahim. Setelah itu, uri dikeluarkan menggunakan kaedah control cord traction. Cara ini dapat mengurangkan risiko tumpah darah.
Info
Ubat membuang najis
Ubat yang biasanya diberi kepada ibu hamil sebaik tiba di bilik bersalin dikenali sebagai enema. Suatu ketika dahulu, mereka memang digalakkan menggunakan ubat ini tetapi pada hakikatnya ia tidak bagus kerana boleh melukakan dubur. Namun, jika tidak diberi pula, dikhuatiri najis akan keluar bersama ketika proses meneran. Untuk itu, doktor akan memberi enema dalam jumlah yang kecil, biasanya glycerine. Ubat ini dapat memberikan keselesaan kepada anda dan paling penting tidak melukakan dubur. Namun, jika anda memaklumkan sudah membuang air besar ataupun mengalami cirit-birit, ubat ini tidak akan diberi.
Menyentuh tentang situasi bersalin di dalam tandas, hal ini biasanya berlaku kepada ibu yang beranak ramai. Ini kerana kontraksi yang dialami tidak lagi sekuat ibu yang hamil anak sulung. Oleh kerana itulah masalah ini jarang berlaku kepada ibu yang pertama kali melahirkan. Sehubungan itu, rasa kontraksi dan gesaan membuang air besar adalah sama. Jadi, berhati-hatilah jika anda keliru. Untuk kepastian, segeralah ke hospital.
Credit: Pama
No comments:
Post a Comment