Daisypath Anniversary tickers

Wednesday, April 23, 2014

MAKANAN BAYI MENGIKUT USIA (9-12 BULAN)

Pada  usia sembilan bulan, bayi anda masih belum bersedia untuk makan segala-gala yang anda boleh makan. Tetapi ini tidak bermakna dia tidak boleh turut serta di meja makan, selagi anda mengambil kira keperluannya.


Selama ini, tujuan anda adalah untuk membiasakan bayi dengan makanan pejal. Kini bayi anda boleh lebih bereksperimentasi dan dia mungkin suka hendak mencuba pelbagai rasa yang berbeza. Namun masih ada beberapa jenis makanan yang dia tidak patut ambil sebelum usia setahun:
  • Madu: ia mengandungi bakteria yang boleh merosakkan usus kecil bayi, mengakibatkan masalah yang dipanggil botulisme bayi, iaitu satu sindrom yang jarang berlaku. Madu juga merupakan sejenis gula, bermakna ia tidak elok untuk giginya yang mula hendak tumbuh.
  • Sesetengah jenis ikan: jerung, todak atau marlin mungkin mengandungi merkuri (raksa) yang boleh menjejaskan sistem saraf bayi yang sedang berkembang. Juga, jangan beri bayi anda kerang-kerangan mentah untuk mengelakkan risiko keracunan makanan.
  • Telur mentah atau kurang masak: pastikan telur dimasak sempurna sehingga bahagian putih dan kuningnya keras.
  • Makanan rendah lemak, rendah kalori dan berserat tinggi: makanan seperti ini tidak sesuai untuk bayi. Bayi memerlukan makanan yang tinggi kandungan tenaganya.
  • Kacang: jangan beri bayi makan kacang sebiji-sebiji sehinggalah umurnya lima tahun kerana ia boleh menyebabkan bayi tercekik.
Minimakan juga pengambilan bahan-bahan berikut:
  • Garam: jangan tambah garam dalam makanan bayi kerana buah pinggangnya tidak dapat memprosesnya. Hadkan pengambilan makanan masin yang dimakan bayi anda seperti keju dan sosej. Periksalah label pada bungkusan makanan. Bayi sepatutnya mengambil tidak lebih daripada 1g garam (0.4g sodium) sehari.
  • Gula: makanan dan minuman manis tidak baik untuk gigi bayi anda dan boleh menyebabkan dia menggemar makanan manis. Tambahkan sedikit sahaja gula dalam makanan bayi jika anda rasa perlu, contohnya untuk merebus buah-buahan masam seperti plum. Jangan beri bayi anda pudding manis, aiskrim, biskut atau gula-gula.
Walaupun begitu, masih ada banyak makanan yang boleh anda sediakan yang boleh dikongsi sekeluarga. Bacalah artikel kami tentang resipi keluarga. Dia pasti suka makan benda yang sama dengan anda. Dia juga akan bertambah mahir makan sendiri. Pada usia sembilan bulan, dia mungkin cuba untuk makan sendiri menggunakan sudu, walaupun mungkin usahanya tidak begitu berjaya. Menjelang hujung bulan ke-10, dia mungkin berjaya memasukkan sudu ke dalam mulutnya beberapa kali.

Bantu dan galakkan bayi anda dengan membiarkan dia memegang sudu yang anda gunakan untuk menyuapnya. Berikan juga banyak makanan jejari supaya dia boleh makan sendiri.

credit

No comments:

Post a Comment