Daisypath Anniversary tickers

Tuesday, June 10, 2014

PEDIH ULU HATI SEMASA HAMIL


Dada saya terasa panas selepas makan. Adakah ini pedih ulu hati?

Besar kemungkinan, ya. Ramai wanita yang mengalami pedih ulu hati buat pertama kalinya semasa hamil. Walaupun ia agak menyakitkan, pedih ulu hati adalah perkara biasa dalam kehamilan dan tidak membahayakan ibu dan bayi.

Pedih ulu hati ialah rasa panas dan pedih seperti terbakar yang biasanya dirasakan pada bahagian bawah tekak sehingga ke bahagian bawah tulang dada. Ini berlaku apabila asid perut naik ke bahagian esofagus. Asid ini boleh naik hingga ke tekak atau mulut dan meninggalkan rasa masam dan pahit.

Perkara ini dipercayai berlaku akibat perubahan hormon dan fizikal dalam badan anda ketika hamil.

Peningkatan hormon progesteron semasa hamil melonggarkan otot-otot lembut dalam uterus (rahim). Pakar percaya bahawa hormon ini melonggarkan injap yang mengasingkan esofagus daripada perut. Ini menyebabkan asid gastrik dapat melonjak naik ke atas melalui paip tersebut dan menyebabkan rasa terbakar.

Hormon progesteron juga menyebabkan proses pencernaan menjadi lembab.

Pada hujung kehamilan, bayi anda yang semakin besar akan menolak usus dan perut anda ke atas. Ini menyebabkan proses pembuangan menjadi lambat, justeru memaksa asid di dalam perut naik ke dalam esofagus.

Adakah pedih ulu hati perkara biasa dan bilakah ia akan berhenti?

Pedih ulu hati sangat biasa berlaku semasa kehamilan, terutamanya apabila bayi anda semakin membesar. Ramai bakal ibu yang mula mengalami pedih ulu hati dan ketakcernaan dalam separuh masa kedua kehamilan, walaupun ada juga yang mengalaminya sebelum itu.

Kira-kira satu pertiga daripada wanita-wanita hamil mengalami pedih ulu hati seawal trimester pertama dan angka ini meningkat sehingga dua pertiga bagi mereka yang dalam trimester ketiga. Jangan bimbang. Sebaik sahaja bayi anda lahir, simptom-simptom ini biasanya akan hilang tanpa meninggalkan kesan buruk.

Adakah apa-apa yang boleh saya lakukan mengenai pedih ulu hati?

Ya, memang ada. Pencetus utama pedih ulu hati biasanya ialah makan, berbaring dan membongkok. Jika anda boleh mengenalpasti aktiviti apakah yang mencetuskan pedih ulu hati atau apa yang membuatkannya lebih teruk, anda boleh cuba untuk mengelakkannya.

Walaupun anda mungkin tidak dapat mengelakkannya seratus peratus, sesetengah daripada perkara berikut mungkin dapat membantu anda melegakannya:
  • Elakkan makanan dan minuman yang boleh membuatkannya bertambah teruk. Ini termasuklah makanan yang berlemak atau berempah, coklat, buah-buahan sitrus atau jusnya, alkohol dan kopi. Elakkan juga daripada minum semasa makan.
  • Minuman bersusu boleh membantu melegakan pedih ulu hati. Jika susu penuh krim membuatkan simptom-simptom anda semakin buruk, bertukarlah kepada susu rendah lemak atau susu skim.
  • Makan sedikit tetapi kerap. Ini dapat mengelakkan asid daripada terkumpul dalam perut anda kerana makanan akan meneutralkan asid perut.
  • Jika anda merokok, cubalah berhenti. Merokok melonggarkan injap di antara perut dan esofagus dan membuatkan reflaks asid lebih berkemungkinan berlaku. Merokok juga membahayakan bayi dalam kandungan anda.
  • Duduk atau berdiri tegak, terutamanya semasa dan sejurus selepas makan. Duduk dengan tegak dan jangan membongkok. Elakkan pakaian yang ketat di sekeliling perut dan jangan baring sekurang-kurangnya satu jam selepas makan.
  • Jika pedih ulu hati lebih teruk pada waktu malam, cuba jangan makan apa-apa dalam tempoh tiga jam sebelum anda masuk tidur.
  • Tidur dalam posisi separa duduk. Gunakan banyak bantal atau tinggikan kepala katil anda dengan menggunakan buku-buku atau papan. Graviti akan membantu mengekalkan asid perut di tempat yang sepatutnya dan membantu dalam pencernaan.
  • Pastikan sebarang ubat-ubatan yang anda ambil untuk masalah lain tidak menyebabkan pedih ulu hati menjadi lebih teruk. Ini termasuk ubat anti kemurungan dan anti keradangan tanpa steroid.

Sesetengah ubat jenis antacid atau alginate yang boleh dibeli tanpa preskripsi dapat melegakan pedih ulu hati. Namun, periksalah dahulu dengan pakai obstetrik anda atau ahli farmasi. Anda perlu memastikan ianya selamat diambil semasa hamil dan ia merupakan rawatan yang betul untuk simptom-simptom anda.

Sesetengah ubat untuk pedih ulu hati boleh menyebabkan sakit perut, manakala sesetengah yang lainnya perlu dielakkan jika anda berkemungkinan mengalami tekanan darah tinggi atau praeklampsiaAlginates membentuk lapisan perlindungan pada dinding perut dan esofagus. Ia lebih berkesan untuk simptom-simptom reflaks. Antacid pula meneutralkan asid perut dan berguna sebagai langkah berjaga-jaga. Tidak kira yang mana satu yang disyorkan kepada anda, pastikan anda tidak mengambil lebih daripada dos yang disyorkan.

Mengambil antacid pada waktu makan atau sebelum tidur mungkin dapat membantu mengelakkan pedih ulu hati.

Namun, jika anda turut mengambil pil zat besi, anda tidak boleh mengambil antacid pada waktu yang sama. Ini kerana, antacid boleh mengganggu penyerapan zat besi jika diambil dalam tempoh dua jam daripada pengambilan pil zat besi.

Jika perubahan yang dilakukan serta rawatan-rawatan yang anda jalani tidak dapat menyelesaikan masalah ini, hubungilah doktor anda. Beliau mungkin boleh mencadangkan langkah seterusnya.

Mungkinkah pedih ulu hati ini petanda bagi sesuatu yang lain?

Mungkin, tetapi ini bergantung kepada di mana kesakitan itu berlaku dan samada anda mengalami simptom-simptom yang lain.
  • Pedih ulu hati biasanya bergerak dari belakang tulang dada hingga ke tekak. Sebaliknya, jika anda merasa sakit pada bahagian atas abdomen, di bawah tulang rusuk, ini mungkin tanda praeklampsia. Jika anda tidak pasti, hubungilah doktor anda.
  • Jika kesakitan itu berlaku pada bahagian kanan atas abdomen dan anda rasa loya, ini mungkin menandakan masalah hati yang berkaitan dengan kehamilan anda.
  • Ada kemungkinan anda mengalami masalah pencernaan yang tidak berkaitan dengan kehamilan, seperti ulcer peptik.

Jika anda rasa sukar untuk makan, berat badan anda menurun atau anda bimbang mengenai simptom-simptom lain seperti yang dinyatakan di atas, jumpalah doktor anda.

Credit: Babycenter

Hubungi mommy darwisya untuk konsultasi percuma atau sebarang keterangan lanjut.


SMS / Call / Whatsapp / Telegram: 0176725772
Email : wss_ary@yahoo.com or wssary@gmail.com
FB : Wan Shahariah Sulaiman
Fanpage: Mommy darwisya - All About Natural Supplement

** These statements have not been evaluated by the Food and Drug Administration. These products are not intended to diagnose, treat, cure, or prevent any disease.

No comments:

Post a Comment