Daisypath Anniversary tickers

Monday, July 1, 2013

MENYUSU FOR THE FIRST TIME

Kenapakah susu ibu paling terbaik?

Susu ibu atau susu badan adalah makanan terbaik untuk bayi anda. Tanyalah mana-mana pakar kesihatan dan mereka akan mengatakan bahawa cara yang paling sihat untuk memberi makan kepada bayi baru lahir ialah dengan menyusukan bayi anda. Kajian menunjukkan bahawa menyusu secara eksklusif sekurang-kurangnya selama tiga bulan boleh membantu mencegah gastroentreritis pada bayi. Jika anda menyusukan bayi anda selama sekurang-kurangnya empat bulan, anda boleh mengurangkan risiko bayi anda untuk mendapat penyakit pernafasan dan jangkitan telinga. 

Susu ibu merupakan sumber makanan yang lengkap; ia mengandungi semua nutrien yang diperlukan oleh bayi anda – sekurang-kurangnya 400 jenis – termasuk hormon dan bahan melawan penyakit yang tidak terdapat dalam susu formula bayi. Malah, kandungan nutriennya akan mengadaptasi kepada keperluan bayi anda semasa dia membesar. Dan selain dari manfaat pengembangan minda dan imuniti jangkitan dalam susu ibu, yang tidak boleh ditiru oleh mana-mana susu formula, penyusuan badan boleh membantu membina ikatan istimewa antara anda dan bayi anda. Apabila anda menyusukan bayi anda, bayi anda memanfaatkan kontak kulit dengan kulit, di samping pelukan dan pegangan. Anda juga akan berasa begitu. 

Ketahui dengan lebih lanjut mengenai bagaimana badan anda menghasilkan susu badan. 

Persediaan untuk penyusuan

Sebenarnya agak sukar untuk menyediakan puting payudara anda untuk memulakan penyusuan, tetapi anda boleh dan perlu bersedia dari segi minda. Ia membantu anda mempelajari sebanyak mungkin mengenai penyusuan sebelum bayi anda lahir. Para bapa juga perlu belajar sebanyak mungkin, supaya mereka dapat menyokong dan menggalakkan isteri mereka yang menyusukan bayi. 


Bagaimana untuk menyusu

Oleh sebab penyusuan boleh mengambil masa dari tujuh minit hingga ke 40 minit, pilihlah tempat yang selesa untuk anda. Keadaan persekitaran adalah sangat penting, terutamanya pada peringkat awal anda mula menyusukan bayi, sebab anda perlu membiasakan diri. Jika anda mudah diganggu oleh bunyi bising, cari tempat yang senyap. Jika anda mudah bosan, anda mungkin mahu menyusukan bayi di hadapan televisyen, tetapi hanya jika penyusuan sudah menjadi perkara yang selesa untuk anda dan bayi anda. Cubalah beberapa tempat yang mungkin dahulu sehingga anda menjumpai tempat yang sesuai untuk anda. 

Pegang bayi anda dalam posisi yang tidak membuatkan lengan dan belakang anda sakit. Letakkan seberapa banyak kusyen di sekeliling anda untuk sokongan. Ramai wanita mendapati posisi melengkok seperti buaian adalah paling selesa untuk mereka walaupun kegemaran ibu mungkin berkainan. Pilihlah tempat yang selesa untuk anda dan bayi anda sebelum mula menyusu. Perhatikan bagaimanakah rasa pada buah dada anda semasa bayi anda melekap padanya. Bayi sepatutnya menghisap satu mulut penuh tisu buah dada anda. Jika pelekapan menyakitkan, lepaskan lekapan – dengan memasukkan jari kecil anda di antara gusi bayi anda dan puting anda – dan cuba sekali lagi. Apabila bayi anda dapat melekap dengan baik, dia akan dapat menjalankan apa yang perlu seterusnya. 

Masalah yang mungkin anda hadapi

Walaupun wanita telah menyusukan bayi berkurun-kurun lamanya, ia bukan selalunya mudah. Ramai yang menghadapi kesulitan pada peringkat awal. Dalam enam minggu pertama, pada masa bekalan susu anda sedang mengadaptasi dan bayi anda belajar untuk menyusu, anda mungkin akan mengalami perkara yang berikut: 

• Pembengkakan: buah dada yang sangat penuh. 
• Mastitis: radang buah dada. 
• Sakit puting. 

Apa yang akan anda rasakan

Sesetengah wanita akan mudah menyesuaikan diri dengan penyusuan dan tidak menghadapi sebarang masalah. Tetapi kebanyakan ibu-ibu baru mendapati ianya sukar untuk dilakukan – jadi jika anda berasa kecewa, ingatlah bahawa bukan hanya anda seorang yang berasa begitu. Jika anda berputus-asa (atau hanya mahukan nasihat professional), hubungi pakar runding penyusuan ibu (terdapat di kebanyakan hospital). Anda juga boleh menghubungi Ibu Family Resource Group, satu organisasi sukarela yang menganjurkan kumpulan sokongan penyusuan ibu di ibu pejabat mereka di Lembah Klang. Organisasi ini juga boleh menyarankan kumpulan-kumpulan di lain-lain tempat. Direktori Breastfeeding A-Z kami juga menawarkan lebih banyak sumber. 

Anda juga boleh berbincang dengan doktor anda mengenai sebarang kebimbangan bersabit kesihatan yang mungkin akan menghalang penyusuan. 

Penyusuan memerlukan latihan. Berikan diri anda masa sebanyak mana yang anda perlukan untuk membiasakan diri. Lakukannya satu persatu dengan perlahan. Jika anda mengalami penyusuan yang teruk pada sesuatu hari berkenaan, beritahu diri anda bahawa hari esok akan menjadi lebih baik. Sentiasa beringat bahawa sebarang masalah yang anda hadapi adalah hanya untuk sementara. Menjelang pemeriksaan doktor pada minggu ke-6, anda sudah boleh menyusukan bayi anda tanpa sebarang masalah. Jika tidak, jangan teragak-agak untuk mendapatkan pertolongan. 

Penyusuan di tempat umum

Walaupun anda berasa malu untuk menyusukan bayi anda di hadapan orang lain, ini telah menjadi satu perkara yang biasa di kawasan bandar di Malaysia. Di samping itu, anda tidak boleh sentiasa pulang ke rumah anda setiap kali bayi anda perlu menyusu. Sesetengah baju direka khas untuk membolehkan anda menyusukan bayi anda dengan baik. Elakkan baju yang menggunakan butang sebab ia akan membuatkan anda berasa sangat terdedah – baju yang boleh meregang adalah lebih baik. Letakkan sehelai skarf, selendang atau kain selimut yang nipis pada bahu dan dada anda semasa bayi anda menyusu supaya anda tidak berasa malu di tempat umum (pastikan anak anda boleh bernafas dengan baik). 

Kebanyakan pusat membeli-belah utama, atau yang dibina atau diubah suai dalam masa lima tahun yang lepas mempunyai bilik persalinan bayi, di mana anda boleh duduk dan menyusukan bayi anda dengan selesa dengan kehadiran ibu lain. Jika anda tidak mempunyai akses kepada kemudahan seperti itu, kebanyakan tempat akan menyediakan tempat untuk ibu yang menyusu dan bayi yang kelaparan. Mintalah sebuah bilik atau satu sudut apabila anda mahu menyusukan bayi anda. Lambat-laun, apabila anda sudah biasa dengan penyusuan, anda tidak akan malu untuk menyusukan bayi anda di tempat umum. 

Walau bagaimanapun, anda mungkin mahu mempertimbangkan fakta yang mana cara hidup orang Malaysia boleh mewujudkan beberapa cabaran untuk menyusukan bayi di tempat umum. Sebagai contoh, jika anda berada di medan selera atau gerai mamak yang buka 24 jam (jangankan kemudahan untuk ibu dan bayi, bilik air yang bersih pun sukar untuk dicari!), jadi lebih baik anda menyusukan bayi anda sebentar di dalam kereta (kunci pintu dan hidupkan enjin supaya penghawa dingin boleh dipasang). Selesaikan penyusuan apabila anda telah sampai di rumah. 

Apa yang perlu anda beli

Anda perlu membeli sekurang-kurangnya dua helai bra menyusu. Ini akan memberikan sokongan kepada buah dada anda yang bersaiz lebih besar daripada biasa itu. Ia boleh didapati dalam cangkuk atau zip yang boleh dibuka dengan mudah apabila anda mahu menyusukan. Pastikan ia betul-betul padan dan penutup boleh dibuka sepenuhnya. Jika hanya sedikit sahaja bahagian buah dada yang terdedah, bra itu mungkin memberi tekanan pada anda dan menyebabkan duktus tersumbat. Anda mungkin mahu menunggu sehingga anda melahirkan bayi sebelum membeli bra untuk memastikan anda membeli bra yang padan dengan baik. Anda akan dapati bahawa bra menyusu yang berkualiti tinggi tidak mempunyai dawai sokongan sebab dawai keras ini akan menyebabkan duktus tersumbat. 

Sesetengah ibu mendapati bahawa buah dada mereka akan meleleh semasa laktasi. Mendengar tangisan bayi atau terpandang bayi orang lain akan merangsang aliran susu dan ini berlaku kadang-kala pada waktu yang tidak sesuai. Pastikan anda mempunyai bekalan pad bra yang secukupnya. Anda boleh membeli pad yang boleh dibasuh atau pad pakai buang. 

Bolehkah saya menyusukan selepas saya kembali bekerja?

Ya. Kembali bekerja tidak bermakna anda berhenti menyusukan. Malah, ibu-ibu yang bekerja di luar kawasan rumah mereka dapat menyusukan bayi mereka selama mana yang mereka mahu. Anda mungkin mahu mengepam susu di tempat kerja atau menyusukan hanya apabila anda bersama dengan bayi anda. Kedua-duanya boleh dilakukan. 

Credit: Babycenter

Hubungi mommy darwisya untuk konsultasi percuma atau sebarang keterangan lanjut.

SMS / Call / Whatsapp / Telegram: 0176725772
Email : wss_ary@yahoo.com or wssary@gmail.com
FB : Wan Shahariah Sulaiman
Fanpage: Mommy darwisya - All About Natural Supplement


** These statements have not been evaluated by the Food and Drug Administration. These products are not intended to diagnose, treat, cure, or prevent any disease.

No comments:

Post a Comment