Daisypath Anniversary tickers

Tuesday, September 23, 2014

CARA MANDIKAN BAYI DENGAN SELAMAT

Assalamualaikum semua.. 


Mommy akan berkongsi bersama cara-cara memandikan bayi anda. Bayi anda mungkin amat suka bermain air, namun begitu ada peraturan-peraturan yang harus dipatuhi untuk membuat waktu mandi selamat selain menyeronokkan. Perkara yang paling utama dan paling penting ialah jangan tinggal bayi anda berseorangan dalam besen atau tab mandi.

Pastikan air mandian bayi suam dan selesa tetapi tidak panas sebelum memasukkan bayi anda ke dalamnya. Air yang dipanaskan sehingga 37 darjah C adalah paling sesuai. 

Anda boleh membeli termometer untuk menentukan suhu air mandian itu. Sesetengah termometer direka bentuk seperti mainan mandi bayi yang selamat dan menyeronokkan. Jika anda tidak mempunyai termometer, celupkan siku anda ke dalam air untuk menguji samada ia terlalu panas atau terlalu sejuk. 

Tuangkan air sejuk ke dalam besen dahulu, kemudian barulah air panas. Ini akan mengurangkan risiko melecurkan bayi anda. Jangan sekali-kali meletakkan bayi anda dalam besen atau tab semasa air paip sedang mengalir. Suhu air boleh berubah dengan pantas. 

Walaupun air mandiannya mungkin suam, suhu badan bayi anda boleh menurun dengan pantas apabila anda keluarkannya daripada air, jadi pastikan bilik anda panas dan selesa. Apabila mengangkat bayi daripada besen mandi, balutkan dia dengan tuala dan tutup kepalanya sebelum memakaikannya lampin. 

Selepas itu, balutkan bayi dengan tuala kering atau selimutkannya sekali lagi, dan peluk dia selama 10 minit untuk memanaskan badannya. Apabila dia sudah memakai baju, balutkan dia dalam selimut yang kering dan suam. 


Untuk bayi baru lahir sehingga usia enam bulan, isikan besen sedalam kira-kira 13sm. Atau pastikan air cukup untuk bayi berbaring dalam air dengan bahunya betul-betul terendam. 

Jangan sekali-kali meletakkan bayi yang lebih besar dan juga anak kecil dalam air yang kedalamannya lebih tinggi daripada pinggang mereka (posisi duduk). Dan jangan sekali-kali meletakkan bayi anda dalam besen atau tab semasa air sedang mengalir. Kedalaman air boleh naik sehingga menjadi terlalu dalam. 


Sentiasalah berada di samping bayi semasa dia sedang mandi. Bayi boleh lemas dalam air yang kurang daripada 3sm, dan dalam beberapa saat sahaja bayi boleh tergelincir ke dalam air dan tak berupaya menyelamatkan diri. Walaupun dengan penggunaan alat sokongan semasa mandi, bayi masih boleh lemas atau mengalami kecederaan yang serius jika ditinggalkan berseorangan. 

Jika anda menggunakan tab mandi, letakkan pelapik getah di lantai tab. Tatkala bayi anda sedang membesar, latih supaya dia duduk diam dalam tab pada bila-bila masa. Ini dapat mengelakkannya daripada berdiri, tergelincir atau hilang imbangan. 

Terpulang kepada anda berapa kerap anda mahu memandikan bayi anda. Waktu mandi boleh menjadi acara harian yang seronok dan relaks bagi anda dan bayi anda. Tetapi, jika anda tidak mahu memandikan bayi anda setiap hari, sekali atau dua kali seminggu adalah sesuai semasa bulan pertama. 

Asalkan anda mengelap seluruh badannya dari atas ke bawah, dan membersihkan semua kotoran yang dapat dilihat pada hari-hari dia tidak dimandikan, bayi anda sudah cukup bersih. 

Apabila bayi anda berusia dua bulan anda mungkin mahu menjadikan mandi sebagai sebahagian daripada rutin tidur bayi. Walau bagaimanapun, anda tidak perlu membasuh rambut bayi setiap hari. Rambutnya mengeluarkan hanya sedikit minyak sahaja, jadi sekali seminggu sudah memadai. 

Gunakan sabun lembut dan tidak mengandungi pewangi atau produk cecair mandian bayi dengan pH neutral. Jika kulit bayi anda terasa kering atau kemerahan, anda boleh mencampurkan sedikit emolien mandi ke dalam air mandian. Menggunakan emolien boleh membuatkan kulit bayi anda licin, jadi peganglah bayi anda dengan kukuh tetapi lembut semasa dia di dalam air. 


Jangan sekali-kali meninggalkan bayi anda dalam besen atau tab tanpa kawalan.

Sediakan semua yang anda perlukan untuk memandikan bayi anda sebelum bermula, iaitu tuala, sabun dan kelengkapan mandian yang lain, lampin yang bersih dan baju tidur, di tempat yang senang untuk dicapai. Jika ada orang mengetuk pintu atau jika telefon berbunyi dan anda rasa anda perlu menjawabnya, angkat bayi, balutkan dia dengan tuala dan bawa bersama anda. 

Credit: Babycentre

Harap informasi di atas dapat membantu ibu-ibu baru untuk mengetahui cara-cara selamat untuk memandikan bayi anda. Sehingga bertemu lagi. xoxo

1 comment: